Monday, June 6, 2011


 KHAS BUAT INSAN YANG SEDANG BERSEDIH


Tiada manusia sempurna


Tiada manusia sempurna. Selain Rasul dan Nabi, tiada lagi yang maksum selain mereka. Semua manusia melakukan dosa.

Namun, sebaik-baik pembuat dosa, adalah mereka yang bergerak pulang kepada Allah SWT.

Memang, orang akan hina kita, orang akan perli kita, orang akan kata pada kita itu dan ini. Memang sukar berhadapan dengan semua kritikan dan hinaan itu. Namun kita kena tabah.


“ Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya. ”
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Sematkan dalam diri kita bahawa, semua kritikan, perlian, hinaan itu adalah balasan terhadap dosa kita. Kita kena bersabar melalui balasan yang Allah beri itu, di samping kita juga bergerak mempertingkatkan diri kita. Jangan kita terfikir untuk membalas hinaan mereka dengan hinaan, atau berfikir untuk berhenti dari perubahan kepada kebaikan.




Kalau kita berhenti, maka kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan yang mati-matian cuba menghalang kita daripada Allah SWT. Tiada manusia sempurna, bila berbuat dosa itu adalah lumrah sebagai manusia.

Namun, apabila kita ini sedar dan berusaha bangkit dari dosa kita, maka kita sebenarnya adalah yang terbaik dari kalangan manusia. Hal ini kerana, kita termasuk dalam golongan yang dicintai Allah SWT.


“ Sesungguhya Allah amat mencintai mereka yang sering bertaubat dan membersihkan diri ”
Surah Al-Baqarah ayat 222.

Dan sedikit kepada yang menghina orang yang berdosa, ketahuilah bahawa anda juga tidak sempurna, dan punya dosa yang perlu diperbaiki. Maka, apa kata dari anda menghina-sisih orang-orang berdosa, anda bersama-sama mereka berpimpin tangan memperbaiki diri ke arah redha-Nya?


Keampunan Allah

Wahai sahabatku yang terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat, bila kita bangkit dan ingin melakukan perubahan, ketahuilah bahawa yang mengampunkan kita adalah Allah SWT, bukan manusia.

Yang menentukan manusia itu kafir atau Islam adalah Allah. Yang mengira dosa pahala adalah Allah. Yang memberikan syurga neraka kepada kita adalah Allah.

Maka, berubahlah memohon keampunan-Nya. Jangan kita hirau pandangan manusia. Kita tidak meminta keampunan mereka. Jangan kita kisah hinaan mereka, bukan mereka yang mengampunkan kita.

Manusia, mereka mudah menyimpan di dalam hati. Tercalar, mereka simpan sampai mati. Bila kita berdosa, mereka sukar menerima kita kerana rasa dikhianati. Tetapi Allah, keampunan-Nya lebih luas dari kemarahan-Nya. Allah, sentiasa membuka pintu taubat-Nya. Walau hamba-Nya membunuh 100 nyawa, atau lebih dari itu, andai hamba itu kembali kepada-Nya, maka Dia akan menerima.

Lihatlah kecintaan Allah SWT dalam ayat-Nya:


“ Jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya yang berputus asa itu adalah mereka yang kafir ”
Surah Yusuf ayat 87

Allah tidak meninggalkan kita, walau seluruh dunia menyisihkan kita. Dia, menyuruh kita menyambungkan harapan kita kepada-Nya. Maka jangan berputus asa. Allah bersama kita.

Sedikit kepada yang suka menghina pendosa, ketahuilah bahawa Allah itu lebih mulia dan lebih besar dari kamu. Namun Allah pun berkasih sayang dan memberikan peluang. Kamu?


Kepada penghina yang berdosa

Satu benda saya nak cakap, jangan sesekali kita rasa kita ini sudah sempurna. Hati kita ini, di hujung kekuasasaan Allah SWT untuk membalikkannya. Jangan ingat, hari ini kita beriman, esok kita akan beriman lagi. Sepatutnya kita menjaga keimanan kita, dan menjaga pula keimanan kawan-kawan kita. Bukan membiarkan mereka di dalam lubang kehinaan selama-lamanya.

Ada satu kisah, berkenaan seorang alim. Satu hari dia berjalan, kemudian terlanggar seorang nasrani. Semasa terlanggar itu, si alim berkata: “ Tak guna punya ahli neraka 

Si Nasrani marah. Si Nasrani berkata: “Apakah kau yang memegang neraka? Maka saksikanlah bahawasanya aku ini naik saksi bahawa Allah itu tuhanku, tiada tuhan selain Dia, dan Muhammad itu Rasul-Nya ” Kemudian Si Nasrani meninggalkan si alim itu.

Si Alim meneruskan perjalanan, akhirnya dia melalui sebuah rumah. Keluar dari rumah itu gadis yang sangat cantik, hingga memikat dirinya. Maka dia segera bhertemu dengan ayah perempuan itu, meminta untuk dikahwinkan dengannya. Rupanya, keluarga itu adalah keluarga nasrani. Si Ayah berkata:

 Jika kau hendak mengahwini anakku, maka masuklah ke agamaku ini, dan bekerjalah sebagai penternak khinzirku selama beberapa bulan ”

Oleh kerana hatinya sudah sawan dengan perempuan itu, tanpa sedar, lelaki alim tadi bersetuju.

Satu ketika, lelaki nasrani yang sudah Islam tadi, melalui kembali jalan itu dan terserempak dengan lelaki alim tadi yang sedang mengembala khinzir.

“ Apa yang sudah berlaku kepada kamu wahai muslim? 

Si alim tadi menjawab: “ Kerana aku menghinamu, maka Allah menukarkan kedudukan kita 

Ini kisah buat ingat-ingatan kepada yang suka menghina pendosa.




Saya nampak bahawa, orang yang berdosa ini perlu kita bimbing. Lagi-lagi yang berdosa dari galangan tersungkur. Yakni awal-awal dia baik, kemudian dia buat dosa. Sebenarnya, sesiapa yang menyisihkan pendosa, maka dia telah berdosa secara tidak langsungnya.

Orang berdosa, patut kita dekati dan rancang untuk mengubah mereka. Bukan kita hina, tinggalkan dia terkontang kanting. Kata da’ie?


Penutup: Sahabat, jangan bersedih

Kepada sahabatku yang terpalit dengan lumpuran dosa, ketahuilah bahawa kamu tidak keseorangan. Aku pun bukanlah manusia sempurna. Sama-sama kita berdosa. Sama-sama juga aku mengajak kamu untuk kembali kepada Yang Esa. Hinaan orang sekeliling kita bukanlah penutup pintu taubat-Nya.

Taubat Allah hanya tertutup kepada dua perkara;
Mati 
Matahari Terbit Dari Barat.

Selain itu, maka berkejar-kejaranlah kita mencapai keampunan-Nya.

Memang susah nak tinggal dosa kita, tapi kita kena usaha. Macam usahanya pembunuh 100 di dalam hadith Nabi riwayat Muslim. Lelaki itu, tidak sempat bertaubat pun. Dia baru sahaja bergerak untuk bertaubat. Tapi Allah telah mengampunkannya dan memasukkanya ke dalam syurga. Kerana dia telah bergerak kepada-Nya.

Maka jangan kita lengah. Biar seluruh dunia menghina kita. Jangan kita jadikan itu pelambat langkahan kita kepada Allah SWT.

Saya ada satu kata-kata sebagai perkongsian:

“ Sahabat, ana ni, nak pimpin tangan dengan anta masuk syurga. Jadi, kalau anta terjun ke dalam neraka sekali pun, ana akan terjun dalam api itu untuk tarik tangan anta semula ”

Sebab saya ini sahabat anda. Dan andai saya ini pula yang tersungkur, saya suka kalau ada yang menghulurkan tangan. Manusia ini, perlu sokong menyokong, nasihat menasihati, bantu membantu. Baru ada sempurna menyempurnai. Sama-sama lah kita. Jangan berputus asa dengan hinaan orang.


Kita bergerak kepada Allah yang langsung tidak menghina kita.
Allah, yang akan mengampunkan dosa-dosa kita.



No comments:

Post a Comment